Skip to main content
Berita TempatanBerita Tengah

Jualan Ehsan Rahmah Beri Peluang Penduduk Pandan Indah Berjimat

By 13 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salehuddin Klewan/Hazumi Kamarudin

PANDAN INDAH, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Jualan Ehsan Rahmah (JER) terus mendapat sambutan menggalakkan apabila penduduk setempat mengambil peluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran semasa.

Program yang diadakan dari pukul 3.30 petang hingga 6.30 petang semalam itu menyaksikan kira-kira 300 penduduk hadir seawal 2.30 petang bagi mendapatkan nombor giliran.

Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Nariza Zain, berkata sambutan diterima amat memberangsangkan dengan maklum balas positif daripada penduduk setempat.

Menurut beliau, antara kriteria utama pemilihan lokasi program ialah kawasan perumahan kos rendah selain kawasan yang mempunyai ramai penduduk dalam kumpulan B40.

Katanya, inisiatif JER kini menjadi antara program paling dinantikan masyarakat setiap minggu kerana membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, khususnya penduduk bandar.

Tinjauan Malaysia Aktif mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang membeli pelbagai keperluan dapur seperti telur, ayam dan beras yang ditawarkan pada harga subsidi menerusi inisiatif tersebut.

Antara barangan yang menjadi tumpuan ialah telur gred A yang dijual pada harga RM6.90 sepapan, ayam daging saiz premium RM10 seekor dan beras 10 kilogram pada harga RM12 sekampit.

Penduduk, Lee Chin Ching, 66, berkata program seumpama itu amat membantu penduduk bandar khususnya warga emas dan peniaga kecil dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Sekarang harga barang semakin mahal. Bila ada jualan seperti ini, memang banyak membantu kami berjimat. Dengan duit yang sama, saya boleh beli lebih banyak barang keperluan,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Seorang lagi penduduk, Mala Perumal, 49, berkata inisiatif berkenaan wajar diteruskan secara berkala bagi membantu keluarga mengurangkan beban perbelanjaan bulanan.

“Harga yang ditawarkan memang jauh lebih murah daripada biasa. Saya rasa sangat bersyukur kerana program seperti ini benar-benar membantu keluarga mengurangkan perbelanjaan bulanan,” katanya.

Pesara, Ismail Jusoh, 72, pula berkata beliau sanggup hadir lebih awal bagi mendapatkan barangan asas pada harga lebih rendah.

“Kalau beli di pasar raya, memang lebih mahal. Di sini saya dapat berjimat dengan ketara terutama untuk barang dapur harian. Program seperti ini sangat dinantikan penduduk,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda