
Laporan/foto: Atirah Che Hasan (LMS)
TAIPING, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Program Matahari 2026 bertajuk Bangkit Kembali: Dari Luka Menjadi Luar Biasa anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perak berjaya memberi kesedaran serta suntikan semangat kepada lebih 100 peserta untuk bangkit menghadapi cabaran kehidupan dengan lebih positif dan yakin.
Menurut Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perak Kavaramma Subramaniyam, kekuatan emosi dan sokongan masyarakat amat penting dalam membantu individu bangkit semula daripada cabaran hidup.
“Golongan wanita juga perlu mempunyai me time (masa sendiri) agar mental dan emosi sentiasa tenang serta lebih kuat dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian.
“Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu masyarakat khususnya golongan wanita untuk terus kuat, positif dan berdaya saing,” katanya ketika berucap merasmikan program di Dewan Kampung Jambu, di sini semalam.
Selain menambah ilmu pengetahuan, peserta turut berpeluang berkongsi pengalaman serta membina semangat sokongan antara satu sama lain.
Pelbagai pengisian menarik turut diadakan termasuk sesi taklimat daripada agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberi pendedahan berkaitan perlindungan sosial serta kepentingan perancangan kewangan untuk masa depan.
-AA





