
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Sabak Bernam)
SUNGAI BESAR, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Usaha menoktahkan kemiskinan di peringkat akar umbi terus diperkukuh menerusi Program Outreach Memangkas Kemiskinan Daerah Sabak Bernam di bawah inisiatif Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).
Menurut Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Selangor, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Selangor, Dato’ Mohd Khidir Majid, program itu merupakan jelajah daerah kedua selepas Kuala Selangor dan akan diteruskan ke seluruh daerah di negeri ini.
“Kita telah berjaya menyifarkan miskin tegar di Selangor pada 20 Februari lalu, namun masih terdapat kira-kira 19,000 golongan miskin di seluruh negeri yang menjadi sasaran kita untuk dikeluarkan daripada kepompong kemiskinan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program berkenaan di Dewan Sri Bernam, di sini, semalam.
Mohd Khidir, berkata kerajaan menggunakan pendekatan serampang empat mata menerusi Program Peningkatan Pendapatan, Program Pendidikan, Program Perumahan dan Program Kebajikan bagi memastikan usaha membasmi kemiskinan dapat dilaksanakan secara holistik.
Katanya, aspek pendidikan turut diberi penekanan bagi memastikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan tidak tercicir dalam pelajaran.
“Kita mahu memastikan tiada lagi anak-anak yang tercicir daripada pendidikan hanya disebabkan kemiskinan. Pendidikan adalah kunci utama untuk mereka mengubah nasib keluarga kelak,” katanya.
Turut berlangsung penyampaian Bantuan Bakul Makanan bernilai RM150 kepada 170 penerima, penyerahan Peranti Siswa kepada sembilan pelajar cemerlang SPM 2025, penyerahan peralatan perniagaan kepada enam penerima serta penyampaian sijil kepada komuniti Program SejaTi MADANI.
Setakat ini, sebanyak 96 projek di bawah Program SejaTi MADANI telah diluluskan di daerah Sabak Bernam membabitkan peruntukan RM9 juta manakala sebanyak 677 projek melibatkan 626 komuniti dengan nilai keseluruhan RM56.6 juta diluluskan di seluruh Selangor.
-AA-





