Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Kaunter Bergerak MyDigital ID Permudah Urusan Pendaftaran Penduduk Skudai

By 14 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhasliza Hamzah (Johor Bahru)

SKUDAI, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Program Kaunter Bergerak MyDigital ID anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai berjaya membantu penduduk setempat menyelesaikan masalah berkaitan pendaftaran MyDigital ID, khususnya dalam kalangan warga emas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai Marina Ibrahim, berkata program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan kerana memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan pendaftaran tanpa perlu beratur panjang di Pusat Transformasi Bandar (UTC) atau hadir ke lokasi yang lebih jauh.

“Kita turun padang bagi membantu penduduk, terutama warga emas, supaya mereka dapat mengakses perkhidmatan ini dengan lebih mudah dan cepat tanpa perlu bersusah payah ke lokasi lain,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di Bandar Selesa Jaya, di sini semalam.

Menurutnya, masih ramai masyarakat yang kurang jelas mengenai lokasi dan kaedah pendaftaran MyDigital ID, justeru program turun padang seperti itu dapat membantu meningkatkan kesedaran serta memudahkan urusan rakyat.

“Inisiatif ini akan diteruskan secara bulanan selagi masih mendapat keperluan dan permintaan daripada penduduk setempat,” katanya.

Selain membantu pendaftaran MyDigital ID, Marina turut berkongsi maklumat berkaitan perlindungan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada suri rumah dan pekerja sendiri bagi memastikan lebih ramai masyarakat mendapat manfaat daripada skim perlindungan yang disediakan kerajaan.

Sementara itu, seorang penduduk, Hamidah Yahoo, 50, berkata beliau hadir selepas mengetahui mengenai program tersebut menerusi Facebook ADUN Skudai kerana lokasi program yang lebih dekat dan mudah diakses.

“Program seperti ini sangat membantu kerana kami tidak perlu pergi jauh untuk membuat pendaftaran,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda