Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

JKM Bantu Permudahkan Pendaftaran Mangsa Ribut Pendang

By 14 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Penduduk daerah ini yang terjejas dalam kejadian ribut pada 27 April lalu terus mendapat perhatian petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Pendang bagi memudahkan urusan pendaftaran bantuan serta penyelarasan maklumat mereka.

Program Pendaftaran Mangsa Ribut menghimpunkan mangsa dari beberapa mukim terlibat termasuk Ayer Puteh, Padang Kerbau, Padang Pusing, Padang Peliang, Tobiar, Rambai dan Bukit Raya di Masjid Attaawun, Ayer Puteh, di sini semalam membantu mangsa membuat pendaftaran menerusi aplikasi MyIBJKM bagi memastikan setiap keluarga yang terjejas direkodkan dengan lengkap dan sistematik.

Menurut Penghulu Mukim Guar Kepayang Mohd Zulhairy Zakaria, maklumat yang dikumpulkan menerusi aplikasi itu penting bagi membolehkan permohonan Wang Ihsan Bencana diproses oleh pihak berkaitan.

“Kita membuka kaunter pendaftaran di sini bagi memudahkan orang ramai supaya tidak perlu hadir ke pejabat,” katanya.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pendang turut menyerahkan kit makanan kepada 207 mangsa ribut sebagai bantuan awal bagi meringankan beban keluarga yang terkesan.

Sementara itu, rata-rata penduduk yang hadir melahirkan rasa syukur kerana pelbagai agensi tampil membantu mereka selepas kejadian ribut yang menyebabkan kerosakan rumah dan harta benda di beberapa kawasan.

Mereka berharap proses bantuan dapat dipercepatkan agar mangsa dapat meneruskan kehidupan dengan lebih selesa serta melakukan kerja-kerja pembaikan rumah yang rosak akibat bencana tersebut.

-RI

Tinggalkan komen anda