
Laporan/foto: Manjin Arak/Florinah Lunsin (Kudat)
KUDAT, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Kampus Kudat menerima 158 pelajar baharu bagi Program Pensijilan Asas Islam (PPAI) sesi 2026/2027.
Pengetua IPDAS Kampus Kudat, Noordianah Alwi berkata para pelajar perlu memanfaatkan peluang pendidikan tersebut bagi membentuk sahsiah diri yang cemerlang.
“Pelajar perlu sentiasa berusaha menimba ilmu supaya menjadi insan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerimaan Pelajar Baharu, di sini semalam.
Seorang pelajar baharu, Mohd Syahrul Nizam, 23, berkata dia sanggup datang dari Ranau demi merealisasikan impian melanjutkan pengajian agama di institusi berkenaan.
“Saya sangat teruja kerana berpeluang mempelajari perkara baharu dan bertemu rakan-rakan dari pelbagai daerah,” katanya.
Bagi Mohd Irfan Izham Azlan, 18, peluang melanjutkan pengajian di IPDAS Kampus Kudat merupakan pengalaman yang sangat bermakna.
“Saya berharap dapat meningkatkan kemahiran diri dan berterima kasih kepada keluarga yang sentiasa memberi sokongan,” katanya yang berasal dari Semporna.
-RJ-





