
Laporan/foto: Khairul Othman/Media MBNS (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 14 Mei (MalaysiAktif) – Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan kenaikan nilai ganjaran Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada RM2,000 bagi setiap penerima penganugerahan tahun ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata penganugerahan itu bukan sekadar simbolik penghargaan, sebaliknya medan penting bagi meraikan kakitangan yang telah melunaskan amanah dengan penuh dedikasi.
“Kejayaan sesebuah kerajaan banyak bergantung kepada kesungguhan penjawat awam yang bekerja di belakang tabir.
“Negeri Sembilan amat memerlukan penjawat awam yang bukan sahaja berkapasiti tinggi dan cekap, malah mempunyai jiwa untuk berkhidmat secara ikhlas dan memahami denyut nadi rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis APC Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini semalam.
Beliau berkata kaedah penilaian penerima APC perlu diubah supaya ia selari dengan standard kecemerlangan yang sebenar.
“Sudah tiba masa kita ubah pendekatan. APC tidak boleh lagi diberi atas dasar mengikut giliran atau rasa kasihan. Seharusnya anugerah ini diberikan kepada orang yang benar-benar buat kerja, bertungkus-lumus, dan bebas daripada masalah tatakelola serta integriti,” katanya.
Selain kenaikan insentif APC, beliau turut menyentuh mengenai inisiatif kebajikan menyeluruh yang sedang dan terus dilaksanakan, termasuk pemberian bonus atau Bantuan Khas Kewangan (BKK) sehingga tiga bulan gaji kepada penjawat awam pentadbiran negeri.
-FN





