
Laporan/foto: Aifaa Syafiq (Bentong)
BENTONG, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 30 orang pengusaha industri pelancongan di daerah ini menyertai Kursus Mesra Malaysia 2026 bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan layanan pelanggan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini kelmarin.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Pahang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Bentong (MPB).
Yang Dipertua MPB Dato’ Rose Samsul Abd Razak, berkata pendedahan teknik layanan mesra adalah elemen penting dalam memperkukuh imej Bentong sebagai bandar ekopelancongan yang bersih, hijau dan inovatif.
“Kita mahu para pengusaha hotel, inap desa dan premis makanan sentiasa memberikan layanan terbaik kepada pelancong sekaligus membuatkan mereka memilih untuk kembali semula ke daerah ini.
“Latihan berterusan seperti kursus ini memastikan setiap pengusaha industri pelancongan kekal kompetitif, sekali gus mengangkat martabat sektor pelancongan di Bentong secara keseluruhan,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Inisiatif penganjuran kursus ini membuktikan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan Bentong kekal sebagai destinasi pelancongan unggul yang menawarkan pengalaman mesra dan berkualiti kepada setiap pengunjung.
-RI





