Skip to main content
Berita TempatanSarawak

150 Peserta Sertai Kursus Percuma Kolej Komuniti Kuching Perkasa Ekonomi Komuniti

By 17 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Roszilawati Nor Aziz (Sarawak)/Kolej Komuniti Kuching

KUCHING, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 150 peserta menyertai Kursus Keusahawanan dan Canva yang dianjurkan secara percuma oleh Kolej Komuniti Kuching di Dewan Hikmah, Petra Jaya hari ini.

Salah seorang peserta, Maimunah Ali, 52, berkata kursus tersebut memberi peluang kepadanya memanfaatkan teknologi moden dalam memperluaskan perniagaan.

“Melalui kursus ini, saya memperoleh ilmu baharu untuk mempromosikan produk masakan saya. Kami juga didedahkan dengan penggunaan teknologi AI dalam menghasilkan kandungan pemasaran yang lebih kreatif dan menarik,” katanya kepada Malaysia Aktif, hari ini.

Seorang lagi peserta, Haliza Bisnul, 49, menyifatkan kursus tersebut banyak membantu dalam menghasilkan bahan promosi produk secara lebih profesional.

“Saya kini mampu menghasilkan katalog produk, poster pemasaran dan juga pelekat sendiri. Saya amat berterima kasih kepada Kolej Komuniti Kuching kerana memberi peluang mengikuti kursus ini secara percuma,” jelasnya.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada Program Pengukuhan Bakat Komuniti 2026 di bawah inisiatif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Kolej Komuniti Kuching bagi memperkasa sosioekonomi masyarakat.

Pelaksanaan program itu direalisasikan menerusi peruntukan Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, dengan Kolej Komuniti Kuching dipilih sebagai salah sebuah institusi pelaksana.

Program berkenaan menyasarkan usahawan tempatan, ibu tunggal dan suri rumah bagi membantu mereka menjana pendapatan menerusi penguasaan pelbagai kemahiran baharu.

Kursus Keusahawanan dan Canva yang berlangsung pada 16 hingga 17 Mei itu menjadi pembuka tirai kepada siri kursus yang akan diteruskan bermula Mei hingga November 2026.

Beberapa kursus lain bakal ditawarkan secara percuma sehingga November depan termasuk Aneka Choux Puff, Aneka Chilled Dessert, Aneka Bun dan Donut, Aneka Hot Desserts, Aneka Kraf Jahitan Beg, Penghasilan Manik Burie, Penghasilan Kaftan Wanita, Simenfero serta Teknik Cetakan Tie Dye dan Silkscreen.

Orang ramai khususnya masyarakat sekitar Kuching disaran merebut peluang tersebut bagi meningkatkan kemahiran serta memperkukuh ekonomi keluarga.

-RJ-

Tinggalkan komen anda