
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Shahrul Azril (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Usaha berterusan kerajaan negeri Perak melalui pelbagai inisiatif hasil kerjasama pentadbiran daerah, kepimpinan setempat, agensi dan rakan strategik berjaya menoktahkan miskin tegar di negeri itu.
Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Salbiah Mohamed berkata kerajaan negeri sentiasa mengenal pasti apa keperluan isi rumah melalui kluster yang dibuat oleh pentadbiran daerah agar bantuan yang disalurkan menjadi jambatan untuk menaikkan taraf ekonomi mereka.
“Hal ini kerana bantuan bukan saja berbentuk wang ringgit malah latihan dan kemahiran juga adalah bantuan yang boleh memberi nilai tambah dalam kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial: Keluarga Angkat Daerah Kuala Kangsar di Dewan Orang Ramai Kampung Sauk, di sini semalam.
Sementara itu, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh Datuk Mohd Ariff Abdul Majid berkata program itu bertujuan menghimpunkan Ketua Isi Rumah (KIR) yang dikenal pasti untuk menyertai inisiatif Keluarga Angkat dalam satu platform yang menyediakan pelbagai peluang bantuan, pekerjaan dan peningkatan pendapatan melalui kerjasama agensi kerajaan dan swasta.
“Saya berharap inisiatif ini membawa manfaat kepada masyarakat setempat serta membuka peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat,” katanya.
-AA-





