Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Belia Agen Pemacu Perubahan Negara

By 18 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Syafiq Jamloh (Maran)/Majlis Belia Daerah Maran

MARAN, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Golongan belia kini bukan lagi sekadar kumpulan yang menunggu arahan, sebaliknya telah diiktiraf sebagai agen aktif yang memacu perubahan dalam pembangunan negara.

Pegawai Daerah Maran, Che Wan Muhammed Salleh Al-Koris Che Wan Jaafar @ Wan Adnan berkata peranan generasi muda amat signifikan dalam pelbagai bidang kritikal termasuk ekonomi digital, keusahawanan, kepimpinan komuniti, inovasi sosial, kelestarian alam dan teknologi.

“Sesuai dengan tema Hari Belia Negara (HBN) tahun ini iaitu Menggerak Belia, ia merupakan satu seruan untuk golongan muda bangkit, bergerak, dan memimpin.

“Nilai ketahanan yang ada pada mereka adalah aset penting selaku generasi pelapis, memandangkan belia merupakan harapan masyarakat dan pemimpin masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Belia Perkasa Pahang: Karnival Sukan Belia Maran Sempena Semarak Hari Belia Negara Daerah Maran Tahun 2026 di Dewan Besar Kompleks Belia dan Sukan, di sini kelmarin.

Program kali ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara tiga entiti utama iaitu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Maran, Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Maran dan Majlis Belia Daerah (MBD) Maran.

Mengulas lanjut, Che Wan Muhammed Salleh Al-Koris turut menekankan peranan belia melalui platform Skuad Antidadah yang bertindak membantu kerajaan membasmi isu penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang melalui gelombang sukarelawan.

Program berskala besar yang dilaksanakan secara serentak di 11 buah daerah di seluruh negeri Pahang ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada komuniti setempat, dengan sasaran penyertaan seramai 600 orang peserta bagi setiap daerah.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Penyelaras Dewan Negeri Kuala Sentul, Dato’ Mukaram Shah Zainudin dan Pengarah AADK Negeri Pahang, Aman Mustapha serta barisan ketua jabatan daerah Maran.

-AA-

Tinggalkan komen anda