
Laporan/foto: Intan Saziana/Ruben (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 18 Mei (MalaysiaAktif) – 10 pasangan pengantin dirai dalam majlis perkahwinan sempena program Anggun Suri Peringkat Parlimen Cameron Highlands di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini kelmarin.
Program Anggun Suri atau Perkahwinan Beramai-Ramai merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban pasangan B40, golongan asnaf dan pasangan yang kurang berkemampuan mengadakan majlis perkahwinan.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ Dr Ramli Mohd Nor berkata program itu melambangkan membuktikan kerajaan negeri bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan fizikal dan ekonomi, tetapi juga pembangunan sosial dan kekeluargaan yang menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat.
“Tahun ini merupakan tahun ketiga program ini dilaksanakan, di mana tahun lalu hanya di sembilan daerah sahaja, manakala tahun ini diperluaskan ke 14 kawasan parlimen dengan 10 pasangan pengantin bagi setiap parlimen.
“Secara keseluruhan, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi meraikan 140 pasangan pengantin baharu di negeri Pahang,” katanya yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika berucap mewakili Menteri Besar Pahang pada program tersebut.
Pada majlis sama, kerajaan negeri turut menyediakan insentif perkahwinan berbentuk sumbangan khas bernilai RM300 kepada setiap pasangan.
Sementara itu, salah seorang pengantin, Siti Nursyazwani Abd Rahim, 29, melahirkan rasa syukur dan gembira kerana berpeluang diraikan bersama pasangan lain dalam suasana yang cukup meriah.
“Majlis seperti ini sangat bermakna buat kami kerana bukan sahaja dapat berkongsi detik bahagia bersama keluarga dan masyarakat, malah bantuan yang diberikan sedikit sebanyak membantu kami memulakan kehidupan berumah tangga,” katanya.
-AA-





