
Laporan / Foto : Sitti Jakiyah Abd Rahim/Asli Awang Damit (Putatan)
PUTATAN, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Pameran haiwan eksotik oleh Taman Hidupan Liar Lok Kawi mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung semasa Sambutan Pesta Kaamatan Daerah Putatan 2026 sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan liar.
Pameran yang menampilkan beberapa spesies haiwan eksotik dan hidupan liar yang jarang ditemui itu juga memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat, mengenali serta memahami keunikan haiwan berkenaan dengan lebih dekat.
Wildlife Presenter Taman Lok Kawi, Mohammad Azman Mat Jusip, 33, berkata penglibatan pihaknya semasa program Kaamatan sangat relevan agar usaha mendidik masyarakat mengenai pentingnya melindungi spesies yang diancaman kepupusan dapat disampaikan dengan lebih meluas.
“Untuk pengetahuan pengunjung, haiwan yang kami bawa ini sebenarnya berasal dari luar negara dan ada yang tergolong dalam spesies hampir pupus serta dilindungi. Antara haiwan yang menjadi tarikan utama ialah Ball Python atau Ular Sawa Bola dari Afrika Selatan serta spesies gecko dari India yang jarang ditemui di sini,” katanya ketika ditemui semasa program tersebut di sini pada sabtu.
Sementara itu sebagai pengunjung, Fidelia Godfrey, 37, memberitahu pameran berkenaan perlu dianjurkan di setiap program Kaamatan kerana sangat bermanfaat kepada masyrakat di samping membudayakan tradisi tempatan.
“Dalam masa menghadiri program kebudayaan, pameran berkenaan hidupan liar ini wajar diadakan kerana mampu menambah pengetahuan selain dapat melihat haiwan yang dipamerkan, pengunjung juga boleh belajar dan bertanya dengan lebih lanjut tentang haiwan-haiwan tersebut.
“Saya berharap lebih banyak spesies haiwan dapat dibawa pada pameran akan datang supaya pengunjung memperoleh pengalaman lebih menarik selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan melindungi hidupan liar dan habitat semula jadi,” ujarnya.
-RJ-





