Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Sambutan World Hearing Day Perak 2026, Masyarakat Diseru Tingkat Kesedaran Penjagaan Pendengaran

By 18 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Hospital Teluk Intan

RUNGKUP, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Masyarakat terutama ibu bapa diseru agar meningkatkan kesedaran penjagaan pendengaran terutama terhadap kanak-kanak melalui pengesanan awal.

Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Negeri Perak, Dr. Muhammad Najib Nordin, perkara ini dapat dilakukan dengan memastikan intervensi yang dilaksanakan segera dengan penuh tanggungjawab.

“Secara keseluruhannya, hampir 1.5 bilion penduduk dunia mengalami masalah pendengaran dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 2.5 bilion menjelang tahun 2030.

“Daripada jumlah tersebut, kira-kira 90 juta kanak-kanak berumur antara lima hingga 19 tahun turut mengalami masalah pendengaran,” katanya ketika merasmikan Sambutan World Hearing Day Peringkat Negeri Perak 2026.

Beliau hadir bagi mewakili Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Dato’ Sivanesan Achalingam yang berlangsung di Masjid Tuminah Hamidi, di sini kelmarin.

Beliau menambah data terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan seorang daripada lima rakyat Malaysia atau hampir 21.5 peratus mengalami masalah pendengaran yang disebabkan oleh beberapa faktor seperti genetik, jangkitan dan ancaman yang dikenali sebagai Noise-Induced Hearing Loss (kehilangan pendengaran akibat bunyi bising).

Sementara itu, Pengarah Hospital Teluk Intan, Dr. Nordin Nasir berkata tema sambutan tahun ini adalah Dari Komuniti ke Bilik Darjah: Penjagaan Kesihatan Pendengaran untuk Semua Kanak-kanak.

“Tarikh Hari Pendengaran Sedunia dipilih untuk disambut pada 3 Mac setiap tahun oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana angka ‘3:3’ itu menyerupai bentuk dua telinga manusia.

Turut hadir Ketua Otorinolaringologi Negeri, Dato’ Dr. Philip Rajan, Pegawai Daerah Bagan Datuk, Nazrul Fazami Mohamad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Dato’ Shahrul Zaman Yahya, Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Khairuddin Tarmizi serta ketua-ketua jabatan dan agensi sekitar daerah Bagan Datuk.

-AA-

Tinggalkan komen anda