
Laporan/foto: Muhammad Fakhri Md Nor (Alor Gajah)
MASJID TANAH, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Program Masjid Tanah Neon Night Run 2026 yang berlangsung meriah di Simpang Jeram, Kampung Jeram di sini, kelmarin berjaya mencatatkan kehadiran kira-kira 500 peserta termasuk masyarakat setempat.
Program ini dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Limau, Rakan Muda serta beberapa jabatan dan agensi lain.
Menurut Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Zailani Siran, program tersebut dianjurkan sempena Sambutan Hari Belia Negara 2026 yang disambut pada 15 Mei setiap tahun.
“Larian ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan masyarakat menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat, malah turut merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira umur, kaum dan agama,” katanya.
Tambahnya lagi, program seumpama ini diharap dapat dijadikan acara tahunan atau diadakan secara berkala bagi meningkatkan kualiti kehidupan, tahap kesihatan, serta keceriaan masyarakat ke arah yang lebih baik.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, yang berharap acara seperti ini dapat mengeratkan ukhuwah sesama rakyat di Masjid Tanah khususnya dan negeri Melaka amnya.
-AA-








