
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Pertandingan Boling Padang Tertutup anjuran Persatuan Penggiat Media Labuan menjadi platform memperkukuhkan jaringan komunikasi antara ahli-ahli persatuan dan rakan strategik persatuan itu.
Menurut Pengerusinya, Jainudin Djimin, program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim selain memupuk semangat kesukanan dan kerjasama dalam kalangan peserta.
“Persatuan Penggiat Media Labuan telah menganjurkan satu pertandingan boling padang yang berlangsung meriah dengan penyertaan daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta serta pengamal media di sekitar Labuan.
“Sepanjang pertandingan berlangsung, para peserta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi serta memberikan komitmen terbaik dalam setiap perlawanan yang diadakan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Ujarnya, penganjuran program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyemarakkan lagi aktiviti komuniti serta menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.
“Pertandingan berkenaan juga mencerminkan peranan aktif Persatuan Penggiat Media Labuan dalam menganjurkan program yang memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya lagi.
Pada program itu, beliau berjaya menumpaskan Muqtadir Halim dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di perlawanan akhir sekaligus menjuarai pertandingan itu.
Manakala, dua wakil Jabatan Penyiaran Malaysia Labuan Izuandi Jaludin berada di tempat ketiga dan Sudit Yusof di tempat ke empat.
-AA-





