
Laporan/foto: Sarah Nur/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan supaya Khutbah Jumaat di seluruh negeri pada Jumaat lalu menggunakan teks khas bertemakan guru bertajuk ‘Guru Berhikmah Membina Insan Sejahtera’ sempena sambutan Hari Guru.
Baginda turut memperkenankan penghormatan diberikan kepada warga pendidik dan guru untuk bertindak sebagai Khatib Jemputan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini, berkata Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah mengemukakan 625 nama warga pendidik dan guru untuk dipersembahkan kepada baginda.
“Nama-nama tersebut telah mendapat perkenan baginda untuk menaiki mimbar membaca khutbah di 625 buah masjid dan surau diri Jumaat di seluruh negeri Perak pada 15 Mei 2026,” katanya dalam kenyataan.
Menurut teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu, Islam mengangkat tinggi martabat guru dan meletakkan golongan tersebut di kedudukan yang mulia selaras dengan kepentingan ilmu.
Mimbar turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa menghargai jasa pendidik dengan menjaga adab serta menzahirkan rasa terima kasih kepada mereka.
Selain itu, masyarakat juga diseru untuk berganding bahu dan memberikan sokongan padu kepada guru dalam usaha melahirkan modal insan yang berilmu.
Sultan Nazrin turut berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Perak (Masjid Sultan Idris Shah II).
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Dr Mohd Azam Ahmad yang turut bertindak sebagai Khatib Jemputan di masjid berkenaan.
-RI





