
Laporan/foto: Loseyeffer Molly (Bau)/KKMG
BAU, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Kolej Komuniti Mas Gading (KKMG) terus mencipta kejayaan apabila Kumpulan CC Greengrow berjaya meraih naib johan pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Jabatan dan Agensi Persekutuan Sarawak Tahun 2026 yang berlangsung dari 12 hingga 14 Mei lalu.
Pengarah KKMG, Khalid Husseine Tuah berkata pencapaian tersebut amat membanggakan dan selaras dengan aspirasi institusi untuk menjadi peneraju dalam membudayakan inovasi serta meningkatkan kualiti pengurusan organisasi.
“Saya amat berbangga dengan kemenangan kumpulan ini kerana ia merupakan satu pencapaian amat baik bagi kami di KKMG. Kemenangan ini juga selaras dengan aspirasi kami untuk menjadi peneraju dalam membudayakan inovasi dan peningkatan kualiti pengurusan organisasi.
“Ini bukti KKMG terus komited melahirkan idea-idea kreatif yang praktikal, mampan dan memberi impak positif kepada kecekapan kerja termasuk pembangunan institusi pendidikan TVET di Sarawak,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Beliau turut berkata pencapaian tersebut membuktikan keupayaan institusi dalam memperkukuhkan budaya penambahbaikan berterusan menerusi penghasilan inovasi berkualiti.
Kejayaan itu katanya hasil komitmen, kreativiti dan semangat kerja berpasukan ahli Kumpulan CC Greengrow yang terdiri daripada Cynthia Lee Poh Choo, Lenny Lai Mei Lan, Ts. Chong Man Lung, Talhatta Deng, Bonifes Chuyu Barau, Ts. Siti Nursaadah Mat Yusoff, Anita Ajang dan Mallinder Maoh.
Sebanyak 36 kumpulan daripada pelbagai jabatan dan agensi persekutuan seluruh Sarawak menyertai konvensyen bertemakan “Idea kepada Impak” itu yang disempurnakan penutupannya oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak, Ahmad Nadzri Mohd Hassan.
Kumpulan yang berjaya dalam konvensyen tersebut turut berpeluang mara ke pertandingan Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) anjuran Unit Pemodenan Perkhidmatan Sarawak sempena Sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak.
-RJ-





