Skip to main content
Berita TempatanSabah

OKU Tekun Berniaga Ais Krim Demi Kelangsungan Hidup

By 19 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Muhammad Yusrie Othman (Beaufort)

BEAUFORT, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Kekurangan fizikal bukan penghalang buat seorang remaja orang kurang upaya (OKU) kelahiran Tenom untuk terus mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Mohammad Rafidi Abdur Rasid, 22, berkata kehidupannya berubah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika berusia lapan tahun yang menyebabkan beliau mengalami kecacatan hilang upaya separa kekal.

“Bagaimanapun, keadaan itu tidak mematahkan semangat untuk berdikari.

“Selepas menamatkan pengajian Tingkatan Lima, saya memilih untuk menceburi bidang perniagaan berikutan kesukaran mendapatkan pekerjaan tetap.

“Kalau kita sendiri tidak mahu membantu diri sendiri, tiada siapa yang boleh membantu kita,” katanya ketika ditemui di pekan Beaufort, pada Isnin.

Bermula dengan jualan ais krim di Tenom, Rafidi kemudian mengembangkan perniagaannya ke Beaufort dengan menggunakan perkhidmatan Keretapi Negeri Sabah sebagai pengangkutan utama.

“Ais krim dihasilkan di rumah dengan bantuan ibu sebelum dibawa ke lokasi jualan menggunakan troli khas.

“Secara purata, saya menjual kira-kira 200 batang ais krim setiap perjalanan pada harga RM2 sebatang,” katanya.

Menurutnya, Beaufort kini menjadi antara lokasi utama perniagaan yang dijalankan.

Selain Beaufort, beliau turut menjalankan perniagaan di Membakut, Papar, Keningau dan Kota Kinabalu.

Sepanjang menjalankan perniagaan, masjid dan rumah tumpangan dijadikan tempat berteduh sementara sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi seterusnya.

Beliau kini menyimpan impian untuk memiliki kenderaan sendiri bagi memudahkan pergerakan serta meluaskan lagi perniagaan ais krim yang diusahakan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda