Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

UJANA TENAGA Dekatkan Ilmu Industri Tenaga Kepada Masyarakat

By 19 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatihayatul Sadi/Shawani Kamil (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) melancarkan UJANA TENAGA di Muzium Negeri Terengganu sebagai platform interaktif bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap sejarah, pembangunan dan masa depan industri tenaga negara.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail.

Naib Presiden Kanan Projek, Kejuruteraan dan Teknologi PETRONAS Ir. Ts. Mohd Yusri Mohamed Yusof, berkata Terengganu mempunyai kedudukan penting dalam sejarah industri tenaga negara serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan kemahiran dan kemajuan industri.

“Terengganu mempunyai tempat yang amat bermakna dalam sejarah industri tenaga negara.

“Negeri ini bukan sahaja penting kepada operasi tenaga PETRONAS, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan kemahiran tempatan dan kemajuan industri negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian UJANA TENAGA, di sini hari ini.

Beliau berkata UJANA TENAGA dibangunkan berasaskan empat zon utama iaitu ASAS, TERAS, CITA dan CITRA yang mengetengahkan asas pembangunan, peranan sektor tenaga, inovasi masa depan serta impaknya terhadap pendidikan, alam sekitar dan komuniti.

Menurutnya, galeri itu menggabungkan elemen multimedia, audiovisual dan interaktif bagi menjadikan penyampaian ilmu berkaitan tenaga lebih mudah difahami, khususnya kepada pelajar, pendidik, keluarga dan generasi muda.

“Melalui galeri ini, PETRONAS berharap agar pengunjung bukan sahaja melihat pameran, tetapi turut memahami bagaimana tenaga berkait rapat dengan kehidupan harian, pembangunan negara, kelestarian alam sekitar dan masa depan yang sedang kita bina bersama,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan semua pihak yang terlibat, sambil berharap UJANA TENAGA terus menjadi ruang ilmu dan inspirasi kepada rakyat serta generasi akan datang.

-RI

Tinggalkan komen anda