
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
ENGKILILI, 21 Mei (MalaysiaAktif) – Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Sri Aman dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman muncul juara keseluruhan masing-masing bagi kategori sekolah rendah dan menengah dalam Mahrajan Al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bahagian Sri Aman 2026.
Program yang berlangsung di SK Engkilili No.2 itu menghimpunkan murid sekolah rendah dan menengah dari seluruh Bahagian Sri Aman menerusi pelbagai pertandingan berteraskan penghayatan Islam seperti tilawah al-Quran, hafazan, nasyid dan seni khat.
Pegawai Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman, Syaifullah Ismail berkata penganjuran mahrajan tersebut bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform membentuk sahsiah, disiplin dan jati diri murid melalui penghayatan al-Quran serta kesenian Islam.
“Program seumpama ini mampu melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi akademik, rohani dan sahsiah selaras dengan aspirasi pendidikan negara.
“Mahrajan kali ini dilihat memberi impak besar dalam usaha mencungkil bakat serta potensi murid dalam bidang tilawah, nasyid dan seni khat selain meningkatkan keyakinan diri mereka untuk tampil di khalayak ramai,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan, di sini kelmarin.
Program berkenaan katanya turut membantu membudayakan penghayatan al-Quran dan nilai Islam dalam kehidupan harian murid di samping memperkukuh hubungan kerjasama antara sekolah melalui persaingan yang sihat.
Kesemua pemenang yang terpilih bakal mewakili Bahagian Sri Aman ke peringkat negeri di Sibu tidak lama lagi dengan harapan mampu mengharumkan nama daerah serta mengekalkan kecemerlangan sahsiah dan akhlak.
-FN





