Skip to main content
Berita TempatanSabah

Program Rakan Lestari Perkukuh Kesedaran Kelestarian Alam Sekitar Komuniti

By 20 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Asli Awang Damit (Putatan)

PUTATAN, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Program Rakan Lestari Majlis Daerah Putatan (MDPTN) Peringkat Daerah Putatan 2026 terus diangkat sebagai platform memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan serta memelihara kelestarian alam sekitar.

Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh berkata Program Rakan Lestari MDPTN ini menitikberatkan kerjasama pelbagai peringkat masyarakat bagi membentuk gerak kerja yang konsisten agar kebersihan kawasan rekreasi atau taman-taman awam terus terpelihara.

“Kawasan rekreasi seperti Taman Permainan Teluk Villa Putatan ini merupakan tempat tumpuan komuniti setempat, khususnya kanak-kanak dan keluarga, maka menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan ia sentiasa bersih, selamat dan kondusif untuk digunakan.

“Program ini bukan sahaja bertujuan untuk mengindahkan dan menceriakan kawasan rekreasi atau taman awam, tetapi juga untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan, kehijauan dan kelestarian alam sekitar,” katanya ketika melancarkan program tersebut di Taman Permainan Teluk Villa, di sini pada Rabu.

Tambahnya lagi, program seumpama itu juga memerlukan kerjasama lebih ramai pihak agar kesan yang lebih optimum atau pendekatan bersepadu dapat dicapai antaranya menerusi kerjasama padu sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO)

“Usaha memelihara alam sekitar bukan hanya terletak di bahu satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, NGO dan komuniti setempat. Dalam hal ini juga, saya amat menghargai penglibatan pihak Sabah Electricity selaku rakan strategik.

“Sabah Electricity memainkan peranan besar dalam menjayakan Program Rakan Lestari ini dan inisiatif sebegini membuktikan bahawa pendekatan secara bersepadu dan kolaboratif mampu memberi impak yang lebih besar serta berpanjangan kepada masyarakat setempat,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda