
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah
MUKAH, 20 Mei (MalaysiaAktif) — Polis menahan seorang lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah kecil-kecilan dalam satu serbuan di Kampung Sesok, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Mohamad Rizal Alias berkata suspek berusia 24 tahun ditahan kira-kira 7.30 malam di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemui 14 keratan tiub straw lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu yang disembunyikan di dalam sebuah kotak rokok.
“Dadah yang dirampas ianggarkan seberat 5.82 gram dengan nilai pasaran sekitar RM300,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata suspek yang positif ujian saringan dadah direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dan menggunakan dadah berbahaya.
Satu kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selepas suspek didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
-FN





