
Laporan/foto: Aini/KPDN Perlis
KANGAR, 21 Mei (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis menahan seorang lelaki tempatan kerana berurusniaga barang kawalan tanpa lesen atau surat kebenaran bertulis Pegawai Bekalan Malaysia, semalam.
Pengarahnya, Rohaida Hassan berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di sebuah premis tanpa lesen di Kawasan Perindustrian Kuala Perlis, di sini.
“Hasil pemeriksaan di premis menemukan sejumlah 129 kotak tepung gandum Cap Bunga Chempaka yang dianggarkan seberat 1,290 kilogram (kg). Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Serbuan hasil diriskan selama dua minggu itu turut melibatkan Pasukan Polis Marin Wilayah Utara bagi mengesan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di negeri berkenaan.
Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi dan akan terus mempergiat penguatkuasaan secara berterusan.
Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan melalui Portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my , Pusat Panggilan 1-800-886-800, e-mel [email protected], aplikasi EZ ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245, aplikasi WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 serta Pejabat KPDN Perlis 04-9795000/503 (setiap hari mulai jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang).
-RI





