
Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad/Mohd Noor Mahmuddin Mahlil (Pasir Mas)
PASIR MAS, 21 Mei (MalaysiaAktif) – Di sebalik kepesatan pembangunan, perusahaan arang tradisional di Kampung Lebal Akil, Chicha Tinggi di sini masih kekal bernyawa hasil kegigihan seorang pengusaha tempatan.

Abdul Ghani Kasim bersama anak-anak usahakan arang tradisional jadi sumber pendapatan keluarga.
Abdul Ghani Kasim, 63, telah mengusahakan perusahaan tersebut bersama anak-anak sebagai sumber pendapatan utama keluarga sejak sekian lama dan kini memiliki tiga buah gok (dapur atau relau yang digunakan sebagai tempat untuk membakar) pemprosesan arang.
Beliau berkata bahan mentah diperoleh daripada masyarakat setempat dengan harga sekitar RM200 hingga RM300 bagi setiap lori, bergantung kepada jenis kayu.
Menurut Abdul Ghani, proses pembuatan arang memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi kerana kayu-kayu perlu melalui proses pembakaran selama kira-kira seminggu, sebelum disejukkan bagi tempoh yang sama bagi memastikan kualiti arang lebih tahan lama.
“Setiap gok mampu menghasilkan kira-kira 700 plastik arang yang dijual antara RM3.50 hingga RM4 satu plastik,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif di tapak pemprosesan arang di Kampung Lebal Akil, di sini baru-baru ini.

Abdul Ghani memiliki tiga buah gok untuk melancarkan kerja membakar kayu bagi menghasilkan arang secara kaedah tradisional.
Arang yang siap diproses akan dipasarkan ke gerai runcit sekitar daerah ini selain terdapat pemborong yang mendapatkan bekalan terus dari rumah.
Selain itu, wap pembakaran kayu turut dimanfaatkan untuk menghasilkan cuka kayu yang digunakan dalam sektor pertanian sebagai bahan semula jadi serta sumber pendapatan tambahan.
Walaupun berdepan cabaran bekalan bahan mentah dan persaingan produk moden, Abdul Ghani tetap meneruskan perusahaan ini demi mempertahankan warisan pembuatan arang tradisional yang semakin berkurangan.
Usaha berterusan keluarga ini membuktikan industri tradisional masih relevan dan mampu menjana ekonomi setempat jika diusahakan secara konsisten.
-FN





