Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Hac Bayi: Inisiatif Murni Selamatkan Nyawa

By 21 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shazreena Harith (Seremban)

SEREMBAN, 21 Mei (MalaysiaAktif) – Inisiatif baby hatch (hac bayi) diwujudkan bukan untuk menyokong gejala pembuangan bayi tetapi sebagai usaha menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa dibuang ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya, kata Pengurus Unit Jabatan Kecemasan Hospital Pakar KPJ Seremban Nurhidayah Mat Said.

Menurut beliau, hac bayi bertujuan memberi peluang kepada ibu yang berada dalam keadaan terdesak bagi menyerahkan bayi mereka secara selamat sekali gus membolehkan bayi menerima rawatan segera serta perlindungan yang sewajarnya.

“Tempat perlindungan ini beroperasi secara 24 jam dan mempunyai sistem penggera yang bertujuan memberi isyarat kepada kakitangan bertugas apabila ada bayi diletakkan.

“Pintu ruangan meletakkan bayi pula akan dikunci sepenuhnya dalam masa beberapa saat bagi menjamin keselamatan bayi,” katanya, di sini semalam.

Pada tahun 2010 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan OrphanCare Petaling Jaya telah memperkenalkan hac bayi yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.

Terkini, Malaysia mempunyai sembilan buah hac bayi dan salah satunya terletak di Hospital Pakar KPJ Seremban yang mula dibuka sejak tahun 2013 hasil kerjasama bersama rangkaian Hospital Pakar KPJ.

Usaha murni ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan pihak hospital dan organisasi kebajikan terhadap isu sosial yang semakin serius, malah memberi harapan baharu kepada bayi yang tidak diingini untuk meneruskan kehidupan dengan lebih terjamin.

Selain itu, inisiatif ini juga diharap dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa masih terdapat jalan penyelesaian yang lebih selamat dan berperikemanusiaan berbanding tindakan membuang bayi.

-RI

Tinggalkan komen anda