
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/Facebook Amirudin Shari
SHAH ALAM, 21 Mei (MalaysiaAktif) – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menzahirkan rasa taat setia dan menjunjung kasih atas titah nasihat penuh hikmah oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebooknya hari ini, beliau berkata titah Baginda amat tepat pada waktunya ketika ada segelintir pihak cuba meniup api perkauman serta memperalatkan sentimen agama demi politik.
“Malaysia dibina atas semangat muafakat, persefahaman, serta keluhuran undang-undang, bukannya atas asas kebencian kaum mahupun ketakutan terhadap agama,” katanya.
Rakyat juga katanya perlu menjunjung titah Baginda agar menghayati falsafah Rukun Negara serta meneliti Perlembagaan Persekutuan dengan jujur supaya sejarah negara tidak diputarbelitkan oleh mana-mana pihak.
Beliau berkata sebarang cubaan mengherotkan sejarah dan menanam kebencian antara kaum merupakan tindakan tidak bertanggungjawab yang sangat berbahaya kepada masa depan negara tercinta.
Kerajaan Selangor katanya akan terus komited memelihara kesederhanaan, perpaduan rakyat, serta kedaulatan undang-undang sebagaimana yang telah digariskan oleh para pengasas negara terdahulu.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam satu kenyataan menitahkan agar orang Melayu dan umat Islam di negara ini terus bersatu padu, tidak kira daripada kalangan pemimpin politik hinggalah kepada rakyat jelata.
“Beta mahu agar semua kaum, bangsa dan semua agama di Negara ini saling hormat menghormati sensitiviti antara satu sama lain dan hidup aman damai,” titah baginda.
-RI





