
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)/BERNAMA
SIMANGGANG, 22 Mei (MalaysiaAktif) — Program Jualan RAHMAH MADANI sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan Hari Gawai 2026 di kawasan Parlimen Lubok Antu, khususnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili, mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat sejak bermula pagi tadi.
Program dua hari bermula hari ini diadakan di Pasaraya Mini Yak Heng, di sini sebagai salah satu inisiatif Kerajaan MADANI bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah menjelang musim perayaan.
Pelbagai barangan asas ditawarkan dengan pengurangan harga antara 10 hingga 30 peratus hasil kerjasama strategik antara kerajaan dan rakan industri yang terlibat.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sri Aman, Qartinee Mohamad Esa berkata program tersebut merupakan usaha berterusan kerajaan dalam membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha dan Hari Gawai.
“Pelaksanaan Jualan RAHMAH MADANI bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan asas pada harga lebih rendah, malah memperkukuhkan kerjasama strategik antara kerajaan dan pemain industri demi kesejahteraan pengguna.
“Program seperti ini amat penting terutama bagi masyarakat luar bandar kerana ia membantu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah, lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang membuat persiapan menyambut musim perayaan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan hari ini.
-FN





