
Laporan/foto: Senie Endin (Betong)
BETONG, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Majlis Daerah Betong terus memperkukuh identiti dan warisan tempatan menerusi pembinaan replika lesung gergasi yang kini menjadi mercu tanda baharu daerah itu.
Pembinaan replika berkenaan dilaksanakan sebagai usaha mempromosikan sejarah, budaya serta keunikan masyarakat setempat kepada pelancong dan generasi muda selain mengetengahkan identiti Betong yang berkait rapat dengan sektor pertanian tradisional.
Konselor Majlis Daerah Betong, Henry Bayor berkata replika itu melambangkan kekayaan budaya dan kreativiti komuniti setempat yang suatu ketika dahulu menjadikan lesung sebagai peralatan penting dalam kehidupan harian.
Beliau berkata penggunaan lesung bukan sahaja sinonim dalam penyediaan makanan tradisional, malah turut digunakan dalam aktiviti pertanian masyarakat terdahulu.
“Pembinaan replika ini menjadi simbol warisan dan identiti masyarakat Betong yang mempunyai sejarah kuat dalam sektor pertanian serta kehidupan tradisional,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.
Beliau berkata replika berkenaan bukan sekadar produk pelancongan, malah mampu menjadi lambang perpaduan dan kebanggaan penduduk setempat.
“Replika lesung ini diharap menjadi ikon baharu yang membanggakan penduduk setempat selain membantu merancakkan sektor pelancongan daerah,” katanya.
Majlis Daerah Betong berharap lebih banyak projek berasaskan warisan dan budaya tempatan dapat dilaksanakan pada masa hadapan bagi memastikan identiti serta sejarah daerah terus dipelihara untuk generasi akan datang.
-FN





