Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Genta Suara Generasi MADANI Semarak Bakat Seni Muzik Pelajar Sarawak

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Latifah Abdul Latip/Collin Kumar Ngalang (Sarikei)

SARIKEI, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Pertandingan nyanyian solo dan duo sekolah menengah peringkat negeri Sarawak menerusi program Genta Suara Generasi MADANI 2026 menjadi platform mencungkil serta mengembangkan bakat seni persembahan dalam kalangan pelajar.

Program yang berlangsung hari ini dianjurkan bagi memberi pendedahan serta memupuk penghargaan terhadap pendidikan seni muzik, khususnya dalam bidang nyanyian, selain memperkukuh pemahaman tentang nilai kesenian bangsa sebagai asas pembentukan masyarakat berbudaya.

Menurut guru dan urusetia Karnival Seni Muzik 2026, Lidia Lat, pertandingan itu turut membuka peluang kepada murid sekolah dari seluruh negeri untuk menyerlahkan potensi seni persembahan hingga ke peringkat kebangsaan.

Katanya, platform tersebut membolehkan pelajar mengasah bakat serta meningkatkan keyakinan diri menerusi penglibatan dalam pelbagai cabang seni muzik.

“Pertandingan ini menyediakan platform mempamerkan bakat di peringkat kebangsaan kepada murid-murid sekolah dari setiap negeri untuk mengasah, mengembangkan dan menyerlahkan potensi dalam pelbagai cabang seni persembahan,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan nyanyian solo dan duo itu juga dapat memupuk minat murid serta masyarakat terhadap nilai estetik muzik, khususnya dalam bidang nyanyian lagu irama Malaysia dan lagu pop.

Tambah beliau, penghargaan terhadap bakat seni persembahan dan nyanyian dalam kalangan murid sekolah dapat diperkukuh melalui penglibatan aktif ibu bapa, pihak sekolah dan komuniti.

Program berkenaan dilihat bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat baharu, malah turut menyemarakkan budaya seni muzik serta memperkukuh identiti budaya dalam kalangan generasi muda.

-RJ-

Tinggalkan komen anda