
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku dan PENTARAMA Homecoming bukan sekadar hiburan ringan, malah menjadi medium komunikasi strategik yang sangat efektif.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Yahya Ahmad Puteh, melalui gabungan seni persembahan, nyanyian dan sesi sembang santai membolehkan mesej berkaitan dasar pendidikan, keselamatan siber serta semangat patriotisme disampaikan dengan lebih dekat di hati masyarakat khususnya pelajar di Labuan.
“Dalam dunia yang dikuasai dengan kehebatan digital hari ini, kita memerlukan sentuhan human touch seperti PENTARAMA untuk memastikan nilai-nilai murni dan maklumat yang sahih tetap terpelihara.
“Kami sentiasa menyokong penuh program yang mengintegrasikan elemen didikan dan hiburan agar pelajar yang terlibat mampu membuka minda mereka terhadap isu semasa, meningkatkan keyakinan diri melalui interaksi sosial dan memupuk semangat kenegaraan secara santai namun mendalam,” katanya semasa berucap pada program itu di Sekolah Kebangsaan Patau-Patau, semalam.
Beliau turut berharap para pelajar dapat memanfaatkan ilmu yang dikongsikan sepanjang program itu dengan sebaiknya termasuk memahami kepentingan menjaga privasi diri, menggunakan media sosial secara berhemah serta mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan siber, buli siber dan penyebaran maklumat palsu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Labuan, Ag. Rozlan Manan.
Sebanyak lima sekolah menengah terlibat dalam Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku manakala lima sekolah rendah lagi menyertai PENTARAMA Homecoming yang berlangsung dari 19 hingga 21 Mei lalu.
-AA-





