
Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor
JOHOR BAHRU, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 38 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen menerusi Ops Selera yang dijalankan di beberapa premis kedai makan di sekitar bandar raya ini, kelmarin.
Pengarah Imigresen Negeri Johor Dato’ Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata operasi bermula kira-kira jam 11 pagi itu dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan berterusan susulan maklumat awam serta aktiviti mencurigakan di premis terbabit.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati terdapat individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah, selain dua lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pengurus premis turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki dan 14 wanita warga Indonesia berusia antara 18 hingga 50 tahun yang bekerja sebagai pelayan restoran dan tukang masak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI, JIM Negeri Johor akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan imigresen serta memastikan keselamatan dan integriti negara terus terpelihara.
-AA-





