
Laporan/foto: Hirniezah Tabin (Beaufort)
BEAUFORT, 24 Mei (MalaysiaAktif)– Usaha membudayakan amalan membaca terus diperkasa menerusi Program Jom Baca Bersama 10 Minit: “Membaca Membina Bangsa” Peringkat Komuniti 2026 di Perpustakaan Desa Rancangan Klias Zon S20.
Ketua Cawangan Perpustakaan Daerah Beaufort, Norhayati Md Yassin berkata, program itu bukan sekadar menggalakkan budaya membaca, malah menjadi medium membentuk masyarakat berilmu, progresif dan berdaya saing selaras dengan keperluan era digital.
“Budaya membaca perlu dijadikan amalan harian kerana ia mampu melahirkan masyarakat yang mempunyai pemikiran matang serta menjadi asas kepada pembangunan komuniti dan negara.
“Perpustakaan juga perlu terus relevan sebagai pusat ilmu dan ruang pembelajaran komuniti, khususnya dalam mendepani perkembangan teknologi serta ledakan maklumat masa kini,” katanya ketika berucap pada program itu, semalam.
Sementara itu, Ketua Kampung Rancangan Klias, Siti Kasna Abdul Rahin berharap program itu diteruskan pada masa depan bagi menarik minat golongan muda terhadap budaya membaca.
“Pengaruh dunia digital menyebabkan ramai remaja lebih banyak meluangkan masa menggunakan telefon bimbit berbanding membaca bahan ilmiah.
“Program seperti menggalakkan budaya membaca dan mengeratkan hubungan komuniti melalui penglibatan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” ujarnya.
Di samping itu, program berkenaan turut diisi dengan ceramah berkaitan dasar kerajaan yang disampaikan Penolong Pegawai Penerangan Daerah Beaufort, Nurhawa Baizura Mohd Amin.
Beliau menekankan kepentingan masyarakat mendapatkan maklumat daripada sumber sahih dan mengelakkan penularan berita palsu dengan memanfaatkan platform Sebenar.my.
Katanya, masyarakat juga disaran mengamalkan perbelanjaan berhemah dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, termasuk menggunakan aplikasi Price Catcher bagi membuat perbandingan harga barangan.
Kemuncak program ialah aktiviti membaca serentak selama 10 minit yang membawa simbolik bahawa amalan membaca walaupun dalam tempoh singkat mampu memberi impak besar terhadap pembentukan masyarakat berilmu.
-RJ-






