
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Muhamad Rizal Sabtu (Limbang)
LIMBANG, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Program Northern Region Music Festival (NRMF) Edisi Ke-6 Tahun 2026 di Lot 777 Limbang berjaya menarik kehadiran pengunjung luar sekali gus memeriahkan industri seni, budaya dan pelancongan di utara Sarawak.
Festival menampilkan reruai pameran komuniti, malam kebudayaan dan malam konsert sebagai platform mempromosikan keunikan muzik etnik serta seni kreatif masyarakat tempatan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, penganjuran NRMF memperkukuh perpaduan masyarakat selain menjadi pemangkin ekonomi dan sektor pelancongan.
“NRMF menyediakan platform berprestij untuk artis, pemuzik dan kumpulan kebudayaan tempatan mengetengahkan muzik etnik serta seni kreatif kepada khalayak luas.
“Ia mempromosikan keunikan budaya masyarakat Limbang di samping mendidik generasi muda memelihara warisan budaya etnik Sarawak agar tidak ditelan zaman,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Lot 777 Limbang, di sini semalam.
Menurut Abdul Rahman, festival itu memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat menerusi penglibatan peniaga dan usahawan dalam bazar makanan serta reruai jualan sepanjang program.
Acara berkenaan berjaya menyatukan masyarakat berbilang kaum di utara Sarawak melalui elemen muzik serta membantu menjana pendapatan tambahan usahawan tempatan.
Turut hadir memeriahkan festival tersebut ialah wakil rakyat Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang dan Pengurus Stesen Jabatan Penyiaran RTM Limbang Idzham Hadi Sidik.
-RJ-





