
Laporan/foto: Sharifah Robiah (Sibu)
SIBU, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) anjur program gotong-royong membersih Tanah Perkuburan Islam Kemuyang sempena Hari Raya Qurban 2026 bagi memupuk kerjasama masyarakat menjaga kebersihan kawasan tersebut.
Program seawal Jam 7 pagi itu disertai agensi kerajaan negeri, Persekutuan, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, institusi pengajian tinggi serta orang awam.
Pengerusi Biro Perkuburan LAKIS Mahmud Ahad berkata, aktiviti tahunan itu dilaksanakan bagi memastikan kawasan perkuburan sentiasa bersih untuk diziarahi.
“Setiap tahun kita mengadakan gotong-royong membersih Tanah Perkuburan Islam Kemuyang menjelang Hari Raya Qurban, manakala gotong-royong membersih Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim diadakan menjelang Ramadan.
“Ia merupakan aktiviti tahunan LAKIS bagi memupuk semangat bekerjasama serta memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kemuyang, di sini hari ini.
Menurut Mahmud, sambutan program kali ini amat menggalakkan dan merupakan aktiviti gotong-royong kedua yang diadakan di tanah perkuburan tersebut pada tahun ini.
Dalam pada itu, LAKIS turut seru orang ramai menyokong Kempen Wakaf Pokok Bucida – Hijaukan Tanah Perkuburan Islam Kemuyang menerusi sumbangan RM100 bagi setiap pokok yang ditanam.
Kempen bertujuan menambah keindahan landskap dan menyediakan teduhan kepada penziarah di kawasan tanah perkuburan seluas 10.274 hektar itu.
Mahmud berharap penglibatan aktif masyarakat dapat diteruskan sebagai usaha bersama memelihara kebersihan tanah perkuburan Islam untuk generasi akan datang.
-RJ-





