
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Muhamad Rizal Sabtu (Sarawak)
LIMBANG, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Sambutan Pra-Gawai terus menjadi platform penting memupuk perpaduan masyarakat serta meraikan kepelbagaian budaya di Sarawak menerusi penglibatan aktif komuniti dalam aktiviti tradisional.
Program di Rumah Sengat, di sini semalam menghimpunkan penduduk dalam suasana harmoni melalui gotong-royong, persembahan kebudayaan dan perkongsian rezeki sebagai persediaan awal menjelang Hari Gawai.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, sambutan Pra-Gawai memberi impak positif kepada komuniti khususnya dalam memperkukuh hubungan silaturahim.
“Program ini memberi impak positif kepada komuniti setempat menerusi aktiviti bergotong-royong membuat persiapan awal menyambut perayaan.
“Ia juga menjadi medium terbaik untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang,” katanya ketika ditemui di Rumah Sengat, di sini semalam.
Menurut Abdul Rahman, program sedemikian menjadi platform penting dalam memastikan adat resam, seni tari, muzik tradisional dan pemakaian etnik Iban terus dipertahankan serta diwarisi generasi muda.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh anak-anak penduduk Rumah Sengat serta acara cabutan bertuah bagi menambah kemeriahan sambutan.
-RJ-





