
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Muhamad Rizal Sabtu (Limbang)
LIMBANG, 25 Mei (MalaysiaAktif) – Penghayatan nilai integriti dan penolakan terhadap rasuah perlu bermula daripada kepimpinan di peringkat komuniti bagi memastikan kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara terus terpelihara.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata integriti merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat yang maju, telus dan berdaya saing.
“Integriti merupakan asas kepada kemajuan dan kesejahteraan sesebuah masyarakat kerana tanpa integriti, segala usaha pembangunan akan terjejas, kepercayaan rakyat akan terhakis dan akhirnya menjejaskan kemakmuran negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Berkarih Kami Masuk Kampung “Bersama Komuniti Menyemai Integriti” di Dewan Suarah Limbang, di sini hari ini.
Beliau berkata kerjasama strategik antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Residen Bahagian Limbang dan komuniti setempat perlu diperkukuhkan sebagai platform untuk berkongsi maklumat serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.
“Hanya dengan kerjasama yang erat dan berterusan kita dapat membentuk masyarakat yang benar-benar bersih daripada rasuah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan mesra rakyat dan program turun padang seperti itu membuktikan kerajaan serta agensi penguat kuasa sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat dan komited dalam membina negara yang berintegriti tinggi.
-FN





