Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kumang Sarawak 2026 Martabat Ngepan Iban Di Pentas Budaya Negeri

By 25 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Philip Johnny (Miri)

MIRI, 25 Mei (MalaysiaAktif) – Pertandingan Kumang Sarawak 2026 sempena Gawai Dayak Bazaar & Ethnocultural Festival menjadi platform penting memartabatkan warisan budaya dan busana tradisional Ngepan Iban yang menjadi kebanggaan masyarakat Dayak.

Buat pertama kalinya, acara kemuncak sambutan Gawai peringkat negeri diadakan di Miri bagi memberi peluang kepada masyarakat bahagian utara Sarawak menikmati kemeriahan festival tersebut.

Pengunjung, Rina Noel, 43, menyifatkan pertandingan tersebut sebagai usaha memperkasakan budaya Dayak Iban serta memperkenalkan warisan tradisi kepada generasi muda.

“Acara seperti ini penting kerana mempamerkan kecantikan busana tradisional selain mendidik generasi muda supaya lebih mengenali asal-usul sendiri,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Menurut Rina, pemilihan Miri sebagai tuan rumah membuka ruang kepada masyarakat luar Kuching untuk merasai keunikan budaya Dayak.

“Saya lihat ramai anak muda hadir memberikan sokongan sekali gus membuktikan warisan budaya kita masih relevan walaupun zaman semakin moden,” ujarnya.

Seorang lagi pengunjung, Britteny Fiona, 21, berkata pertandingan tersebut memberi inspirasi kepadanya untuk lebih menghargai budaya sendiri dan berminat menyertainya pada tahun hadapan.

Sementara itu, Vanessa Serawa Suel, 24, dari Mukah dinobatkan sebagai Kumang Sarawak 2026 selepas memenangi mahkota Kumang Iban Peringkat Bahagian Miri 2026.

Tempat kedua disandang oleh Shalinie Agnes Ali sebagai Lulong Sarawak, manakala Patrisia Syivia Sibat meraih gelaran Selinggar Matahari Sarawak di tempat ketiga.

Penganjuran pertandingan itu membuktikan warisan budaya Dayak terus utuh dalam arus modenisasi melalui penampilan persalinan Ngepan Iban yang sarat nilai sejarah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda