
Laporan/Foto: Sumardi Sugiman/Muhamad Rizal Sabtu (Limbang)
LIMBANG, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Program Sejambak Kasih Gawai Bahagian Limbang terus menjadi inisiatif tahunan Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membantu meringankan beban kewangan golongan sasar sempena sambutan Hari Gawai.
Program tersebut bukan sahaja bertujuan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, malah memberi peluang kepada penerima untuk menyambut perayaan dalam suasana lebih ceria bersama keluarga.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dan JKM dalam membela kebajikan rakyat terutama di peringkat akar umbi.
“Program ini menjadi bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dan JKM dalam membela kebajikan rakyat di peringkat akar umbi, serta memastikan golongan yang memerlukan tidak ketinggalan merasai kemeriahan dan semangat sambutan Hari Gawai bersama keluarga.
“Program ini juga menjadi medium kerajaan turun padang untuk menyantuni rakyat serta merapatkan jurang dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan komuniti berbilang kaum di Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Dewan Kampung Bunga Raya, semalam.
Menurut beliau, bantuan berupa wang tunai dan hamper perayaan yang disalurkan turut membantu penerima mengurangkan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Tambahnya lagi, pelaksanaan program itu memberi impak positif apabila bantuan berjaya diagihkan secara menyeluruh termasuk ke kawasan pedalaman dan luar bandar di Bahagian Limbang.
“Sumbangan ini biasanya disalurkan sama ada secara penyerahan terus di majlis rasmi setempat ataupun dikreditkan terus ke akaun bank penerima bagi memastikan sistem penyampaian yang lebih efisien dan telus,” ujarnya.
-RJ-





