
Laporan/foto: Nur Imanina (Perak)/Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri
IPOH, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Misi Perdagangan dan Pelaburan kerajaan negeri Perak ke China berjaya membawa pulang prospek serta komitmen pelaburan baharu bernilai lebih RM1.6 bilion melibatkan sektor industri masa hadapan.
Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata misi yang berlangsung dari 17 Mei hingga kelmarin itu memfokuskan kepada sektor teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), pusat data, tenaga hijau dan automotif.

Saarani bersama delegasi negeri diberi taklimat berkaitan pembangunan teknologi digital, AI dan pusat data yang berpotensi memperkukuh ekosistem industri masa hadapan di Perak.
“Antara hasil utama misi ini termasuklah komitmen pelaburan RM1 bilion bagi pembangunan NexQuantum AI Digital Park @ SVTP yang kini tertakluk kepada kelulusan Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF),” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Selain itu, misi berkenaan turut menyaksikan kerjasama strategik antara Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Shuifa Energy Group bagi projek tenaga boleh baharu di Tanjung Tualang bernilai sehingga RM200 juta.
Dua syarikat automotif China, Yantai Yatong Precision Mechanical dan Ningbo Fresh Technology juga komited melabur keseluruhan RM423 juta di Tanjong Malim Hi-Tech Park.
Pelaburan berkualiti ini dijangka memperkukuh ekosistem industri negeri, mempercepat pemindahan teknologi, serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi selaras dengan hala tuju Perak Sejahtera 2030.
-RI





