Skip to main content
Rencana & Pendapat

Tekad Pemuda Cipta New Zealand Versi Perlis

By 30 Mei 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini

PADANG BESAR, 30 Mei (MalaysiaAktif) – Seorang pemuda tekad mengubah kawasan tanah milik datuknya yang suatu ketika dahulu terbiar menjadi antara destinasi agro pelancongan yang semakin dikenali di Perlis.

Kasim Shahruddin, 46, mula meneroka serta mengusahakan tanah seluas empat ekar yang suatu ketika dahulu dipenuhi pokok buah-buahan seperti durian dan rambutan sebelum terbiar dan dilitupi semak samun selepas pemergian datuknya.

Namun, berbekalkan keberanian, minat terhadap alam semula jadi dan semangat untuk memanfaatkan tanah warisan keluarga ia diusahakan Kasim sehingga berkembang menjadi destinasi agro pelancongan yang terkenal di Perlis.

Berkongsi cerita, Kasim berkata dirinya mengambil tanggungjawab menguruskan kawasan berkenaan selepas ibunya menawarkan kepada adik-beradik lain untuk menjaganya.

“Namun, hanya saya yang sanggup menyahut cabaran itu walaupun terpaksa berdepan keadaan kawasan yang masih berhutan dan ketika itu jauh daripada kemudahan asas,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, usaha tersebut bermula secara kecil-kecilan dengan penternakan kambing sebelum dikembangkan secara berperingkat mengikut kemampuan sendiri tanpa mengupah pekerja.

“Masa mula-mula dahulu saya hanya mahu menjaga tanah keluarga dan menternak kambing. Saya tidak pernah menyangka tempat ini akhirnya menjadi lokasi yang dikunjungi ramai. Apa yang ada hari ini dibangunkan sedikit demi sedikit hasil usaha berterusan selama berpuluh-puluh tahun,” katanya.

Kini, #BukitChabangMari yang turut dikenali sebagai “Padang New Zealand Perlis” menawarkan pemandangan padang rumput hijau yang luas berlatarbelakangkan Bukit Chabang yang ikonik.

Keunikan utama Bukit Chabang Mari terletak pada kedudukannya yang menghadap terus ke arah Bukit Chabang, sebuah formasi batu kapur yang kelihatan seolah-olah terbelah dua apabila dilihat dari kawasan tersebut.

Keindahan Bukit Chabang ketika cuaca cerah menarik pengunjung.

Pemandangan unik itu menjadi lebih memukau ketika cuaca cerah dan panas apabila latar langit biru, hamparan padang hijau serta struktur bukit yang tersergam jelas menghasilkan panorama yang sukar ditemui di lokasi lain di Perlis.

Menurut perkongsian video di akaun TikTok @hello.kakwani, Bukit Chabang Mari turut digelar sebagai “Switzerland Mini Perlis” kerana landskapnya yang menyerupai pemandangan indah di Lauterbrunnen, Switzerland.

Hamparan padang rumput yang luas, bukit batu kapur yang menjulang tinggi serta kambing yang bebas meragut mewujudkan suasana tenang dan mendamaikan.

Bezanya, keindahan Bukit Chabang Mari hadir dalam versi tropika yang lebih menghijau sepanjang tahun, sekali gus memberikan identiti tersendiri yang mencerminkan keunikan alam semula jadi Malaysia.

Selain kambing yang menjadi tarikan utama, pengunjung turut berpeluang melihat ayam katik, pelbagai spesies burung dan kucing yang dipelihara di kawasan tersebut.

Suasana mesra keluarga yang membolehkan pengunjung berkelah, bersantai dan berswafoto menjadikan Bukit Chabang Mari sebagai lokasi pilihan untuk menikmati keindahan alam semula jadi Perlis.

-FN

Tinggalkan komen anda