
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 4 Jun (MalaysiaAktif) – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dalam kejadian perahu terbalik di Sungai Banting, Lingga di sini kelmarin ditemukan lemas oleh penduduk semalam.
Mangsa Gerald Lansam, 42, ditemukan pada 4.10 petang, kira-kira 300 meter (m) dari Pos Kawalan Bomba (PKB).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa seorang daripada sembilan individu yang menaiki perahu berkenaan ketika kejadian.
“Perahu itu mengalami kerosakan enjin sebelum hanyut dan melanggar tiang jambatan lalu terbalik. Lapan mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung menggunakan perahu.
“Mangsa dilaporkan sempat berpaut pada tiang jambatan selepas kejadian itu sebelum dilihat tenggelam dan dihanyutkan arus ketika penduduk kampung cuba menghampirinya untuk memberikan bantuan,” menurut kenyataan itu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua melibatkan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit K9 JBPM, serta penduduk kampung.
Kenyataan itu memaklumkan skop pencarian merangkumi beberapa sektor sungai dengan radius sehingga lima kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Operasi SAR ditamatkan pada 4.30 petang atas arahan pihak polis,” menurut kenyataan itu.
-RJ-




