Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

JIM Johor Tumpas Dua Sindiket Bekal Tenaga Kerja Asing Secara Haram

By 4 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Facebook Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor

JOHOR BAHRU, 11 Jun (MalaysiaAktif) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menumpaskan dua sindiket yang terlibat dalam kegiatan membekal tenaga kerja asing secara tidak sah serta menyalah guna permit dan melanggar syarat pas pekerjaan menerusi Ops Serkap pada 4 dan 9 Jun lepas.

Pengarahnya Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata siasatan mendapati beberapa syarikat yang diluluskan kuota pekerja asing dipercayai membekalkan pekerja berpermit kepada majikan lain bagi mengaut keuntungan.

Beliau berkata dalam operasi pertama di sebuah agensi pengurusan pekerja asing di Pusat Perdagangan Pandan pada 4 Jun lalu, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun ditahan kerana tinggal lebih masa, manakala 36 pasport warga Bangladesh dan India serta wang tunai RM5,000 dirampas.

“Ops Serkap kedua yang dijalankan semalam di Taman Setia Tropika dan Taman Kempas Utama pula membawa kepada penahanan dua ejen dan empat pekerja asing yang tinggal lebih masa di Malaysia.

“Turut dirampas 48 pasport Bangladesh, wang tunai RM4,300 serta dua kenderaan yang dipercayai digunakan sindiket,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurutnya, agensi terbabit dipercayai membekalkan sehingga 500 pekerja asing di Johor dan meraih keuntungan bersih kira-kira RM225,000 sebulan.

“Dua ejen turut disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, manakala empat pekerja asing disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda