
Laporan/foto: Norsaedah Haron (Kluang)
KLUANG, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Skim Lindung 24 Jam yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendapat perhatian penduduk setempat menerusi taklimat khas dalam Program JIWA @ Komuniti MADANI yang bertujuan memberi pendedahan mengenai manfaat perlindungan kepada pekerja.
Program tersebut berlangsung di Ida Ros’s Homestay, Kampung Paya Palembang anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kluang dengan kerjasama Komuniti MADANI Chendana Daisy.
Ketua Komuniti MADANI Chendana Daisy, Faridah Jaini, berkata program seumpama itu amat bermanfaat kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat yang belum mengetahui mengenai skim baharu yang diperkenalkan oleh PERKESO.
“Ramai yang tidak tahu tentang skim baharu yang diperkenalkan oleh PERKESO dan program seumpama ini merupakan salah satu platform yang bagus untuk menyalurkan maklumat kepada masyarakat setempat,” katanya.
Sementara itu, wakil PERKESO Kluang, Mahadi Ismail, berkata Skim Lindung 24 Jam merupakan skim baharu yang diperkenalkan bagi melindungi pekerja daripada sebarang kemalangan dan kecederaan yang berlaku di luar waktu bekerja.
“Skim Lindung 24 Jam merupakan skim baharu yang diperkenalkan bagi melindungi pekerja daripada sebarang kemalangan dan kecederaan di luar waktu bekerja,” katanya.
Beliau turut berkongsi mengenai peranan serta bantuan yang disalurkan oleh PERKESO kepada seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Simpang Renggam baru-baru ini sebagai contoh manfaat perlindungan yang disediakan kepada pencarum.
-AA-




