
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus Roziman Mahmudin(Labuan)
LABUAN, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Labuan mempunyai potensi besar dalam melahirkan generasi belia berkualiti.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Anak Bimol, para belia di situ diseru menggunakan kekuatan dan kelebihan Labuan sebagai pemangkin untuk menyerlah ke peringkat lebih tinggi.
“Melalui pelbagai program kemahiran, keusahawanan, kepimpinan dan pembangunan diri, saya menyeru para belia untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan.
“Kerajaan turut menyediakan pelbagai inisiatif, insentif dan peruntukan melalui Belanjawan 2026 untuk memperkasa anak muda dalam aspek latihan, keusahawanan, perlindungan sosial, pendidikan, peluang pekerjaan serta pembangunan belia, sukan dan Rakan Muda,” katanya semasa merasmikan Festival Belia @ Hari Belia Negara dan Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Labuan Tahun 2026, di sini pagi tadi.

Antara ahli-ahli pertubuhan belia tempatan yang hadir memeriahkan HBN 2026
Menurut Mordi lagi, tema Hari Belia Negara (HBN) 2026 menunjukkan bahawa belia telah bertransformasi daripada kumpulan yang pasif kepada peneraju utama dalam membina masa depan negara.
“Tema HBN tahun ini “Menggerak Belia MADANI” menegaskan bahawa belia bukan lagi kelompok yang menunggu arahan, tetapi pemacu perubahan dalam pembangunan negara.
“Tema ini mengangkat belia sebagai subjek pembangunan, bukan objek semata-mata termasuk berperanan penting dalam ekonomi digital, keusahawanan, kepimpinan komuniti, inovasi sosial, kelestarian alam dan teknologi,” jelasnya.
Pada majlis itu beliau turut menyampaikan hadiah bagi Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) bagi kategori pertubuhan serta anugerah individu lelaki dan wanita.
Persatuan Gabungan Belia dan Beliawanis Kampung Pohon Batu (GABPOBA) muncul johan kategori pertubuhan belia diikuti Kelab Belia Kampung Lubok Temiang (KBKLT) selaku naib johan manakala bagi kategori individu lelaki dan wanita masing-masing dijuarai oleh Edzan Fauzan Tamin dan Ellorna Tan Tian Hua.
-RI




