
Laporan/foto: Mohammad Hafizee (Kuala Lumpur)/DBKL
KUALA LUMPUR, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan Sesi Townhall bersama komuniti pelari dan pengurus acara larian sekitar ibu negara serta Lembah Klang bagi mendapatkan pandangan dalam usaha menambah baik ekosistem aktiviti larian dan rekreasi di Kuala Lumpur.
Sesi dialog interaktif itu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk penganjur acara larian dan kelab rekreasi yang berkongsi cadangan berkaitan keselamatan laluan, kesesuaian infrastruktur awam serta penambahbaikan pengurusan acara bagi mengurangkan gangguan trafik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata pendekatan libat urus seperti itu penting bagi memastikan pembangunan bandar selari dengan keperluan komuniti aktif di ibu negara.
“Kuala Lumpur perlu berkembang seiring dengan aspirasi warga kota yang dinamik dan aktif. Sesi townhall hari ini membuktikan komitmen kerajaan dalam mendengar suara komuniti akar umbi, terutamanya para pelari dan penganjur acara yang menghidupkan bandar raya kita.
“Fokus utama kita adalah memastikan aspek keselamatan laluan larian, kebolehcapaian kemudahan infrastruktur, serta keberkesanan penganjuran acara ini dipertingkatkan, sama ada untuk aktiviti siang mahupun malam,” katanya.
Beliau berkata usaha tersebut juga penting bagi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang lebih selamat, mesra rekreasi dan berdaya huni.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud berkata DBKL komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan komuniti dalam merancang dan menambah baik fasiliti serta penganjuran aktiviti rekreasi di bandar raya ini.
DBKL turut menegaskan komitmen berterusan dalam menggalakkan gaya hidup sihat melalui inisiatif seperti KL Car Free Morning yang diadakan setiap Ahad sebagai ruang penggunaan jalan raya secara lebih inklusif.
Hasil sesi libat urus itu, DBKL akan meneliti cadangan yang dikemukakan bagi memperkukuh ekosistem aktiviti larian dan rekreasi di Kuala Lumpur secara lebih tersusun dan selamat.
-AA-





