
Laporan/Foto: Salleh Immun/Ambrose Wennanddo (Mukah)
DALAT, 14 Jun (MalaysiaAktif) – Adat Ngiling Bidai bukan sahaja melambangkan penutupan musim Gawai Dayak, malah menjadi platform memperkukuh semangat kesyukuran, perpaduan dan pembangunan komuniti dalam kalangan masyarakat Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, sambutan Gawai Dayak kini diraikan oleh pelbagai kaum di Sarawak dan menjadi medium penting dalam mempererat hubungan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya.
“Gawai Dayak bukan sekadar perayaan sesuatu kaum. Ia adalah tanda kesyukuran kepada Tuhan atas segala nikmat kehidupan, kesihatan, ketenangan dan kebahagiaan yang telah dikurniakan kepada kita.
“Pada masa yang sama, sambutan Gawai Dayak juga menjadi medan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan serta memperkukuhkan keharmonian dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya,” katanya ketika merasmikan Program Ngiling Bidai di Rumah (Rh) Dari Balin, Nanga Baoh, Dalat, semalam.
Menurut beliau, keunikan Sarawak yang mempunyai lebih 40 suku kaum menjadikan sambutan seperti Gawai Dayak sebagai wadah penting untuk memupuk persefahaman dan memperkukuh perpaduan rakyat.
Royston memberitahu, adat Ngiling Bidai mempunyai makna yang mendalam kerana menandakan berakhirnya musim Gawai dan permulaan kehidupan harian dengan semangat serta azam baharu.
“Adat ini mengingatkan kita bahawa setiap kegembiraan datang bersama tanggungjawab, setiap manfaat perlu diteruskan dengan usaha dan setiap nikmat hendaklah disyukuri melalui tindakan yang positif,” ujarnya.
Beliau turut memuji masyarakat Nanga Baoh yang sentiasa mengamalkan nilai musyawarah, semangat tolong-menolong dan hormat-menghormati yang menjadi asas kekuatan komuniti setempat.
Royston turut berharap semangat gotong-royong, kebersamaan dan kekeluargaan yang menjadi tunjang kehidupan masyarakat Iban akan terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda demi memastikan adat, budaya dan warisan masyarakat kekal relevan pada masa hadapan.
-RJ-




