
Laporan/foto: Aishah Latip/Denis Atem (Lundu)
LUNDU, 14 Jun (MalaysiaAktif) – Pemeliharaan warisan budaya dan pengukuhan perpaduan masyarakat perlu terus diperkasa seiring agenda pembangunan bagi memastikan identiti serta keharmonian rakyat kekal terpelihara dalam arus kemajuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata pembangunan yang mampan bukan sahaja tertumpu kepada aspek fizikal dan ekonomi, malah perlu merangkumi usaha memelihara adat serta warisan masyarakat.
“Pembangunan yang berjaya ialah pembangunan yang mampu mengangkat maruah rakyat, memperkukuh keyakinan masyarakat dan memelihara warisan untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Perayaan Gawai Dayak Peringkat Daerah Lundu Tahun 2026 di Dewan Masyarakat Lundu, di sini semalam.
Beliau berkata kepelbagaian budaya masyarakat Bidayuh Jagoi, Salako dan Rara di daerah itu merupakan khazanah bernilai yang perlu terus diwariskan kepada generasi muda.
Sementara itu, seorang pemimpin komuniti, Loger Misid, 64, berkata pembukaan reruai pameran dan jualan makanan memberi peluang kepada masyarakat untuk memperkenalkan kebudayaan masing-masing.
-RJ-





