Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Tradisi Mangkung Tiang Kukuh Identiti, Warisan Masyarakat Iban

By 26 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Daniel Jong/Budin Gumbang (Kapit)

KAPIT, 14 Jun (MalaysiaAktif) – Tradisi Mangkung Tiang perlu terus dipelihara sebagai warisan budaya masyarakat Iban bagi memastikan adat resam turun-temurun kekal relevan dan tidak luput ditelan arus kemodenan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat menyatakan usaha memelihara adat dan budaya perlu diperkukuh melalui peranan pemimpin adat serta penglibatan generasi muda.

“Oleh itu, saya minta kepada pemimpin adat di rumah panjang seperti tuai rumah atau ketua masyarakat setempat haruslah membimbing generasi baru mengenai adat yang ada pada kaum Iban supaya ia tidak lupus dan hilang,” katanya.

Beliau menjelaskan penglibatan aktif golongan remaja kelihatan menerusi persembahan tarian ngajat dan bertabuh semasa menyambut kehadiran tetamu di rumah panjang berkenaan.

Kenyataan itu dizahirkan ketika merasmikan Majlis Mangkung Tiang Rumah Panjang Nanga Dia di KM11  Jalan Kapit-Song, semalam.

Jefferson turut memuji kepimpinan Tuai Rumah Kayan Nyelang, 62, yang berjaya menyatukan komuniti sehingga mampu merealisasikan pembinaan kediaman baharu yang lebih selesa untuk 37 pintu rumah di situ.

“Upacara Mangkung Tiang ini hanya boleh dilaksanakan setelah rumah panjang siap sepenuhnya,” jelasnya.

Penganjuran ritual tersebut membuktikan permuafakatan kukuh dalam kalangan penduduk sehingga impian untuk memiliki kediaman baharu dapat dicapai bersama.

Bagi golongan muda, Asmira Putri Abdullah, 16, menyifatkan penglibatannya menyaksikan upacara Mangkung Tiang buat kali pertama sebagai pengalaman berharga yang meningkatkan rasa bangga terhadap warisan budaya sendiri.

Upacara tradisi tersebut dimulakan dengan adat miring dan doa sebagai penghormatan kepada nenek moyang sebelum diteruskan dengan ritual utama memukul tiang rumah yang disempurnakan oleh kenamaan jemputan.

Masyarakat Iban percaya upacara berkenaan melambangkan permulaan kehidupan baharu yang penuh keberkatan selain menjadi medium memperkukuh semangat kebersamaan.

Walaupun kebanyakan rumah panjang kini dibina menggunakan struktur konkrit yang lebih moden, adat Mangkung Tiang terus dipertahankan sebagai identiti dan kebanggaan budaya di Sarawak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda