
Laporan/foto: Abg Hairman Abg Fauzi (Samarahan)
KOTA SAMARAHAN, 14 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 452 peserta berjaya memperoleh Lesen Memandu Kelas B2 menerusi program bantuan lesen memandu hasil kerjasama strategik pelbagai agensi, semalam.
Kolaborasi melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, pusat khidmat masyarakat tempatan Muara Tuang serta Konsortium Memandu Kota Samarahan.
Program tersebut dilaksanakan bagi membantu golongan sasaran khususnya mereka yang berpendapatan rendah mendapatkan lesen memandu motosikal secara sah pada kadar bayaran minimum.
Langkah ini sekali gus bertujuan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya melalui latihan dan ujian yang mematuhi piawaian ditetapkan.
Seorang peserta, Zainab Jemi, 67, berkata kepada Malaysia Aktif, kadar bayaran yang dikenakan hanyalah sebanyak RM250 dan menyifatkan dirinya bertuah menjadi antara peserta wanita warga emas yang berjaya dalam program berkenaan.
Sukri Saili, 48, berkata Program MyLesen MADANI banyak membantu masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).
“Program MyLesen amat membantu masyarakat mendapatkan lesen memandu secara sah dan teratur, selain melahirkan pemandu serta pengguna jalan raya yang kompeten, berhemah dan bertanggungjawab,” katanya.
-RJ-





